Bawa pulang penumpang MAS yang terkandas di Bangkok
Posted by The Secret Of Internet - Everything From HerePenerbangan Malaysia (MAS) akan mengadakan satu penerbangan esok dari Kuala Lumpur ke Utapao dekat Pattaya, Thailand untuk membawa pulang ratusan penumpangnya yang terkandas di Bangkok.
Pengurus Kawasan MAS bagi Thailand, A. Vijayakumaran berkata, dua lagi penerbangan akan dilakukan pada Sabtu dengan pesawat Airbus.
Jabatan Penerbangan Awam Thailand telah bersetuju untuk membenarkan MAS menggunakan lapangan terbang tersebut.
Vijayakumaran berkata, penerbangan MH782 esok akan meninggalkan Kuala Lumpur pada 3.15 petang dan dijangka tiba di sini pada 16.20 petang waktu Thailand, sebelum penerbangan kembali MH783 meninggalkan Bangkok pada 5.10 petang dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.15 malam.
Pada Sabtu pula, MAS akan mengendalikan dua penerbangan, bermula dengan penerbangan MH784 pada 9.10 pagi dan tiba di Bangkok pada 10.15 pagi waktu Thailand dan berlepas dari Utapao menerusi penerbangan MH785 pada 11.10 pagi.
Penerbangan kedua (MH788) akan berlepas dari KLIA pada 12.25 tengah hari dan tiba pada 1.30 petang sementara penerbangan balik (MH789) dijadual berlepas pada 2.15 petang (waktu Thailand) dan tiba di KLIA pada 5.25 petang.
Vijayakumaran berkata, penumpang yang mempuyai tiket perlu membuat perancangan sendiri untuk pergi ke Utapao sementara yang tanpa tiket boleh menempahnya dengan MAS.
Katanya, penumpang boleh menghubungi talian 66-22630565-71 atau 66-21343184 untuk mendapat maklumat lanjut.
- Bernama